Splinter Parties daripada The Grand Old Party di Malaysia
Parti MUDA atau nama panjangnya Parti Ikatan Demokratik Malaysia menarik perhatian banyak pihak. Ada yang menyokong, banyak yang menentang — terutama daripada ideologi “muda” yang dibawanya. Suka saya nak menyoroti sejarah parti “splinter” di Malaysia: bagaimana nasib duduk bangunnya di Malaysia. Menariknya, hampir semua parti utama di Malaysia boleh dijejak semula kepada “the Grand Old Party” atau GOP Malaysia — Parti Pertumbuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau hari ini lebih dikenali sebagai UMNO.
UMNO diasaskan pada 1946, hasil keputusan daripada Kongres Melayu ketiga sebagai wadah untuk menentang Malayan Union — kemudian pada tahun 1949 apabila idea Malayan Union berjaya dirobohkan, beralih kepada politik dan tadbir urus Tanah Melayu ketika itu.
Tidak lama selepas itu, pada tahun 1951 muncul “splinter party” pertama apabila Onn Jaafar meninggalkan UMNO untuk mengasaskan parti untuk semua ras dan kaum. Malangnya parti ini tidak bertahan lama kerana kekalahan yang teruk pada pilihan raya 1952 oleh gabungan perikatan UMNO-MCA-MIC. Onn Jaafar kembali kepada akar perjuangan melayunya dan menubuhkan Parti Negara , yang juga tidak bertahan lama, terkubur bersama pemergian Onn Jaafar pada tahun 1962.
1951 juga menyaksikan golongan Ulama’ Melayu dalam UMNO ketika itu beralih dan mengasaskan Parti Islam Se-Malaya (kemudian ditukar kepada Parti Islam Se-Malaysia) atau lebih dikenali sebagai PAS. Perjuangan PAS yang berpaksikan kepada Islam dapat dilihat pada evolusinya terutama pada evolusi pemimpin atasannya sehingga kini masih lagi mendominasi terutama di negeri-negeri Pantai Timur berlandaskan kepada pimpinan ulama’nya. Kita akan kembali kepada PAS.
36 tahun kemudian, UMNO mengalami krisis dalaman — yang seterusnya membawa kepada krisis perlembagaan pada tahun 1989. UMNO pada tahun 1987 berpecah kepada UMNO baharu dan UMNO Malaysia, di mana Umno Baharu (di bawah kepimpinan Dr. Mahathir ketika itu) berjaya mengekalkan kuasa de facto ke atas UMNO Malaysia yang ditubuhkan oleh antara lainnya, Tunku Abdul Rahman dan Razak Hussein. Tengku Razaleigh yang kecewa dengan keadaan kepimpinan UMNO kemudiannya mengasaskan “splinter party” baharu, Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang kemudiannya dibubarkan pada tahun 1996 di mana Tengku Razaleigh kembali ke pangkuan UMNO yang dipimpin oleh Dr. Mahathir.
Bagi generasi millennial seperti saya, 1997 merupakan satu titik besar dalam landskap politik Malaysia. Sehingga zaman ini, perlu diingatkan hanya dua “splinter party” yang tinggal daripada UMNO yang diasaskan pada tahun 1946 iaitu UMNO (Baharu) dan PAS yang berlandaskan islam dan perjuangan Melayu. Penyingkiran Anwar Ibrahim daripada UMNO dan Kabinet Kerajaan ketika itu dikatakan dilakukan secara tidak adil dan telah mencetuskan gerakan Reformasi. Gerakan ini kemudiannya melahirkan “splinter party” baharu dengan mengambil alih satu parti kecil Ikatan Masyarakat Islam Malaysia yang diluncurkan semula sebagai Parti Keadilan Nasional dengan pemimpin utamanya ialah isteri kepada Anwar Ibrahim, Dr. Wan Azizah. Seterusnya Parti Keadilan Nasional dijenamakan sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti yang dikenali sekarang. Menariknya, PKR adalah parti berbilang kaum dan kini antara parti utama di Malaysia. IMP yang diasaskan oleh Onn Jaafar sebenarnya berpotensi — cuma ideanya mungkin mendahului zaman.
PAS juga tidak dapat lari daripada krisis dalaman. Krisis antara gerakan islamis-melayu dengan islamis-progresif sudah tidak dapat dibendung dan akhirnya menyebabkan golongan yang dikatakan progresif professional keluar beramai-ramai pada tahun 2015 dan mengasaskan Parti Amanah Negara (Amanah).
Kita semakin menghampiri parti-parti yang lebih “familiar” sekarang. Tahun 2016, akibat kemuncak skandal 1MDB, beberapa ahli UMNO yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin meninggalkan UMNO dan mengasaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) — yang kemudiannya diungguli oleh Dr. Mahathir, pengasas UMNO (Baharu). Sekali lagi, “splinter party” terbentuk daripada UMNO.
Tetapi kisah belum berakhir. Setelah pakatan ini menang pada tahun 2018 menewaskan UMNO dan Barisan Nasional setelah 61 tahun berkuasa, tahun 2020 membawa landskap politik yang lebih dinamik. Bersatu dan beberapa pemimpin utama daripada PKR meninggalkan Pakatan Harapan untuk menjalimkan satu pakatan longgar antara UMNO dan Barisan Nasional, PAS dan beberapa parti lain melalui Perikatan Nasional untuk membentuk Kerajaan.
Bersatu (yang merupakan “splinter party” UMNO) mewujudkan “splinter party” baharu yang dinamakan Pejuang — yang diketuai oleh tidak lain dan tidak bukan Dr. Mahathir sendiri. Syed Saddiq, yang juga disingkirkan daripada Bersatu, memutuskan untuk menubuhkan Parti MUDA, yang masih dalam proses kelulusan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Menarik juga untuk diperhatikan bahawa “splinter parties” banyak berpaut kepada personaliti yang keluar daripada parti asal dan menubuhkan parti tersebut. Selain PAS dan PKR yang berjaya untuk kekal mampan sehingga kini dengan ideologi unik dan berbeza daripada parti asalnya, hanya masa dapat menentukan kesinambungan “splinter parties” yang lain.