Mencari Patriotisme
Bulan Ogos dan September setiap tahun merupakan bulan Kebangsaan bagi negara Malaysia. Terangkum bersama adalah 31 Ogos (tarikh tanah Melayu merdeka daripada jajahan British pada 1957 dan Sabah pada 1963) dan 16 September (tarikh Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak bersatu membentuk Malaysia pada tahun 1963).
Dan pada bulan inilah selalunya patriotisme kita diukur dan dijulang pada kibaran bendera dan sambutan perarakan gilang gemilang — malah ada yang memeriahkan lagi dengan memanjangkan aplikasi bendera kepada pakaian, dan kini pelitup muka. Patriotisme, ditafsirkan oleh Dewan Bahasa sebagai “perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air”; manakala Webster memanjangkan lagi konotasinya meliputi cinta, sokongan dan pertahanan yang diabdikan kepada negara.
Melihat kereta saya yang kosong tanpa bendera dalam warna-warni kibaran Jalur Gemilang di Ibu Pentadbiran negara buat saya tertanya-tanya. Apakah makna patriotisme kepada saya?
Dahulu, saya terinspirasi bahawa untuk menyumbang, kita boleh menyumbang di mana-mana. Kisah bagaimana Junjungan Besar S.A.W meninggalkan kota Mekah, kota kelahirannya ke Madinah atas perintah Yang Maha Mengetahui menjadi pedoman saya. Tetapi benarlah, rasa cinta dan rindu pada tanah air itu sudah fitrah kepada kita. Tidak ramai yang mampu untuk berhijrah.
Dan cinta itu pula tidak mengenal ruang, dan selalu juga membatasi masa.
Di saat-saat inilah saya kembali terkenang bagaimana Malaysia itu tenggelam dalam popularnya Singapura dan Thailand. Rata-rata kenalan di Amerika Syarikat tidak mengenali Malaysia, malah lokasinya di mana (ini mungkin juga membenarkan stereotaip rakyat Amerika yang lemah geografi). Bertahun-tahun kami mensyarahkan perihal Malaysia cuma untuk Malaysia menjadi lebih diketahui apabila kes MH365 dan MH17 diulang tayang bersiaran langsung oleh stesen berita nasional CNN.
Pengalaman mengajar saya: Malaysia adalah sebuah negara kecil, yang jatuh naiknya tiadalah menyerak ke pelusuk dunia mahupun menanam peduli kepada masyarakat global secara amnya. Malaysia, negara ke-35 dari sudut saiz KDNK; negara ke-45 dari sudut populasi; negara ke-67 dari keluasannya memang nampak kurang istimewanya dari negara-negara lain. Selain dari terkait kerana loteri kelahiran, untuk apa dibanggakan?
Saya pernah diimplikasi, dalam perbualan dua pegawai kanan Kerajaan bahawa Malaysia — sudah tercapai kemajuannya, jika disoroti bagaimana terbangunnya negara sejak lima-enam dekad dahulu. Dihalakan tuduhan bahawa walaupun saya graduan luar negara, tajaan Kerajaan, saya tidak faham kerana saya millennial.
Saya keliru, atau mungkin tuduhan itu melulu. Ya, mungkin generasi kami tampak lebih kurang bersyukur kerana mengeluh dan menyeru kepada perubahan sistem, tidak percaya kepada institusi terwujud sebelum zaman kami. Tetapi percayalah keluhan dan seruan ini semuanya berdasarkan kepada kepercayaan bahawa negara ini boleh menjadi lebih baik. Kami akui keadaan sudah tentu lebih baik berbanding masa lampau, tetapi tidak bermakna negara ini tiada ruang mahupun peluang untuk segar bercambah, lebih makmur dan lebih inklusif.
Cinta dan sayang kepada negara perlu dilihat melangkau sempadan dogmatik. Tabiat keji segelintir pihak mencanangkan rasisme dan melagakan idealogi tiadalah dilihat melainkan hanya taktik untuk kekal berkuasa semata-mata. Saya jadi sedih jika ada generasi baharu yang masih lagi termakan momokan sebegini dan menguar-uarkannya pula kepada yang lain.
Di sini, saya tertanya, apakah nilai patriotisme?
Di Eropah, akibat daripada 9/11 dan perang ke atas keganasan (war on terror), bangsa Arab, terutama golongan Muslim, sering dipersoalan kesetiaan mereka.
“are you Muslim first, or European first ?”
Dan di negara ini, kita juga masih lagi menujahkan soalan yang sama kepada saudara-saudari senegara sekiranya bangsa mereka atau negara yang menjadi keutamaan mereka. Dan jika kelakuan mereka tidak mencerminkan apa yang kita mahukan daripada mereka kita melabel mereka tidak kenang budi; yang lebih intelektual menanggap mereka tidak patuh soal kontrak sosial.
Jadi tersepi sendiri diskusi, tidak boleh maju ke hadapan melangkaui status quo. Adakah itu patriotisme?
Sebab itu kerap saya bertanya, apakah itu patriotisme dan bagaimana ia harus diacu.
Benar, walaupun tidaklah dikenali dan dipeduli, masih ada anak Malaysia yang terus melakar nama. Ada yang membawa panji negara dan ada pula yang maju mengejar cita. Citra sebegini kerap kali diulang tayang, mengingatkan kita bahawa tiada salahnya menjadi rakyat Malaysia, malah kamu harus berbangga. Ya, mudah berbangga dengan anak Malaysia mencipta nama di luar negara.
Atau hakikatnya, patriotisme itu, tanpa sedar sudah asalnya tertanam dalam jiwa setiap raga yang menggelar dirinya rakyat Malaysia. Cuma di saat-saat kritikal, suara yang sumbang itu lebih berdegar, suara yang harmoni itu tenggelam menyantuni sepi. Jadi dalam kesumbangan yang berdekak itu, terus menanam wasangka dan retak.
Patriotisme itu, mustahil digerakkan tanpa “kita”. Dan bagaimana kita hendak menafsirkan “kita” itu adalah dialog nasional, tersirat dalamnya berdekad, malah berabad racun halus kolonialis dalam memecah dan memerintah. Untuk apa dilaung-laung lagi sejarah yang tidak mungkin berubah, sehingga maruah negara dijarah dan ditarah dengan tona dan warna dangkal rasisme. Untuk apa mencorak masa hadapan dengan perit dan curiga masa lampau? Jika perit dan pedih memandu, maka perit dan pedih jugalah yang dituju.
Bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa
Hidup ini sudah terbenam pada persamaan nasib semata
Kaum pekerja dan petani dalam satu sumber mengalir
Sama-sama menyanyikan lagu terbagus untuk tanah air.