Cerita selepas SPM

Expired Scientist
3 min readJun 13, 2021

--

Selepas SPM, alhamdulillah saya didatangkan dengan dua (sebenarnya tiga) peluang melanjutkan pelajaran:

  1. luar negara di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam dalam bidang Sains (ya, tak dinyatakan. Ketika itu saya memilih fizik)
  2. luar negara di bawah tajaan Petronas dalam bidang geofizik di Perancis

Selepas dikemukakan dengan dua peluang tersebut saya beristikharah. Petronas hanya memberikan masa selama dua minggu untuk saya memutuskan memandangkan pengajian ke Perancis akan bermula kurang daripada sebulan.

Saya memilih biasiswa JPA.

Sewaktu di kolej persediaan, kami diberikan peluang untuk memilih subjek elektif yang dikehendaki. Dihadapkan pengajian kalkulus yang bertingkat-tingkat kesusahannya, saya mula sangsi. Adakah fizik untuk saya? Sedari kecil, Albert Einstein dan Stephen Hawking merupakan idola saya. Saya maju jadi seperti mereka. Saya mahu merangka formula baharu yang meneroka alam.

Di kolej persediaan, saya didedahkan dengan mata pelajaran baharu seperti falsafah, sejarah yang kritikal dan bukan dogmatik. Perbincangan menjadi lebih menarik dengan idea-idea besar seperti ini. Saya tertarik. Setibanya di Amerika Syarikat selepas mendapatkan pandangan beberapa senior, saya tekad bertukar bidang: geosains. Saya berjanji kepada diri di universiti ini saya akan meneroka subjek-subjek lain yang saya gemari, bukan sahaja untuk major pilihan saya. Hasilnya, saya bergraduasi dengan major dalam geosains, minor dalam pengajian agama.

Di pertengahan tahun terakhir saya, satu pernyataan terngiang-ngiang sehingga kini yang saya dengari daripada seorang penuntut lain sewaktu kami berbengkel,

“Why do I have to bind myself now to a decision I made when I was 17?”

Antara sebab utama saya bertukar bidang adalah kerana prospek kerjaya. Geosains kelihatan cerah dengan peluang dalam sektor minyak dan gas. Malah sebelum pulang ke Malaysia, saya telah berjaya sehingga ke fasa terakhir dalam progam graduan Shell.

Pada tahun 2014, terima kasih kepada ledakan gas syal di Amerika Syarikat (ironinya!), syarikat minyak dan gas di seluruh dunia mengecilkan rekrut dan operasi kerana penurunan harga minyak dunia. Setelah gagal temu ramah Shell (setelah mara ke peringkat akhir, saya tidak boleh memohon untuk 3 tahun seterusnya), saya gagal mendapatkan tempat di mana-mana syarikat gas dan minyak.

Di penghujung tahun 2014, JPA menghantar kami untuk Management Apprenticeship Programme. Setelah habis 3 bulan, saya menolak untuk menerima kerja kerana saya mahu melanjutkan pelajaran di UKM dalam bidang geologi.

Satu semester saya di UKM, tiada bantuan pengajian untuk saya memandangkan saya melakukan Ph.D tanpa master. Jadi saya memutuskan untuk memohon universiti di luar negara dan biasiwa untuk pengajian master sambil-sambil memohon kerja. Saya berjaya mendapatkan tempat di universiti terkemuka luar negara, tetapi ditolak oleh biasiswa. Tetapi syukur, saya berjaya mendapat tawaran kerja sebagai geosaintis persekitaran (environmental geosaintis) di Kuala Lumpur. Selepas berbincangan dengan penyelia saya ketika itu saya memutuskan untuk berhenti daripada pengajian Ph.D dan bekerja.

Hampir setahun bekerja, saya sekali lagi menerima tawaran kerja. Kali ini, untuk bekerja dengan Kerajaan. Cuma, yang beratnya adalah saya akan meninggalkan latar teknikal saya dan bekerja dalam bidang pengurusan dan pentadbiran yang pelbagai (ada yang kata generalist, ada yang kata versatilist). Hati ini berat, tetapi memikirkan kenaikan gaji yang diterima dan iklim ekonomi ketika itu yang masih tidak memihak kepada sektor minyak dan gas (syarikat saya ketika itu kebanyakannya merupakan jururunding kepada syarikat-syarikat gergasi minyak dan gas), saya menerima tawaran tersebut. Sekali lagi, pada tahun 2016, saya membuat keputusan yang besar dan jauh daripada apa yang saya bayangkan sewaktu membesar dahulu.

Hikmahnya, saya menemui bidang kegemaran saya — ekonomi. Separa falsafah, separa data dan terus mencari penyelesaian kepada masalah yang melanda masyarakat, saya tertarik dan mula membaca (dengan banyaknya) buku-buku popular dalam bidang ekonomi. Mungkin hikmahnya juga saya tidak melanjutkan pelajaran dalam bidang geosains dahulu.

Tahniah kepada adik-adik yang mendapat keputusan SPM baru-baru ini. Bukan mudah untuk belajar dalam suasana ketidaktentuan kerana pandemik. SPM hanyalah permulaan dan ia membuka peluang, dan ia tidak semestinya bersifat akademik!. Nasihat saya adalah jangan takut untuk meneroka peluang tersebut, berdasarkan kemampuan kita.

Sekiranya saya mampu memutarkan masa, saya akan menasihati diriku yang muda untuk meneroka bidang ekonomi dan belajar pengaturcaraan. Saya rasa itu lebih dekat dengan jiwa saya. Tetapi kita tidak boleh memutarkan masa, dan setiap detik ia semakin pula menjauhi kita.

Jangan berdiam terlalu lama dengan kejayaan mahupun kegagalan. Tarik nafas dalam-dalam dan jalan terus!

--

--

Expired Scientist
Expired Scientist

Written by Expired Scientist

Like sciences, but you may never find it here.

No responses yet